Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan secara serentak pada 2026.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu tidak mustahil dilakukan dan ia terpulang kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PRN Sabah akan berlangsung minggu depan dan saya doakan calon Amanah membawa kemenangan sulung parti di bumi Sabah.

“Lepas itu kita akan hadapi PRN Melaka, Johor, Sarawak dan seterusnya PRU-16. Kita mesti bersedia bukan dengan slogan, tapi dengan kerja lapangan yang terancang.

“Kalau nak tahu bila PRU-16, saya akan tengok mulut PMX, kalau herot ke kanan, pilihan raya sudah dekat, kalau herot ke kiri sikit, pilihan raya jauh lagi,” selorohnya ketika menyampaikan Pidato Presiden dan merasmikan Konvensyen Nasional 2025 Amanah di sini hari ini.

Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 November 2025

Mohamad juga mengingatkan jentera pilihan raya Amanah dan semua sayapnya agar kembali mendekati rakyat tanpa menunggu memberikan perkhidmatan di saat akhir.

“Dekati masyarakat, bantu orang susah, jadi suara yang menenangkan, bukan yang menakutkan,” katanya.

Menurut Mohamad, Amanah menggunakan pendekatan Islam yang menebar rahmah, bukan marah-mara dan menjadi obor pencerahan bukan alat untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Apa guna mereka berbangga dengan slogan Membangun Bersama Islam, jika rakyat di negeri mereka terus dihimpit kemiskinan, kekotoran, ketiadaan peluang pekerjaan dan kemunduran,” katanya.

Selain itu, Mohamad mengingatkan semua jenteranya Islam tidak mengajar umatnya kepada kebencian dan permusuhan serta menanam fitnah dan caci maki.

“Sebaliknya Amanah membawa Islam yang membina, yang menyatukan, yang menegakkan keadilan dan kasih sayang antara manusia.

“Kita berpecah bukan kerana agama tetapi kerana politik. Malangnya, politik pula diserahkan kepada emosi, bukan akal.

“Ada orang sampai sanggup mengkafirkan saudara seagama hanya kerana berbeza parti. Ini bukan perjuangan Islam, ini penyakit hati,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengingatkan dirinya dan pimpinannya agar memberi ruang kepada pemimpin muda untuk meneruskan dalam perjuangan Amanah.

“Pemimpin lama, termasuk saya, tidak akan selama-lamanya di atas pentas ini. Kepimpinan bukan milik individu atau kelompok tertentu, tapi milik kita bersama.

“Dari penggantung poster dan bendera sehinggalah kepada yang mengatur strategi. Ingatlah! setiap yang memegang kuasa, mesti berlaku adil dan ihsan kepada setiap ahli parti.

“Pimpinan mestilah bersikap mendamaikan, bukan bersifat melaga-lagakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast