Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 November 2025

SHAH ALAM – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump lebih takut untuk mengunjungi negara-negara Eropah berbanding negara-negara Islam.

Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu berkata, ia kerana Trump lebih gentar dengan kebangkitan masyarakat Eropah dalam membela perjuangan rakyat Palestin.

“Kita lihat sekarang kebangkitan membela Palestin datang daripada masyarakat Eropah, Donald Trump lebih takut pergi ke Eropah daripada pergi ke negara-negara orang Islam.

“Demonstrasi menyokong perjuangan Palestin menentang Israel, dasar pembunuhan beramai-ramai, mereka keluar puluhan ribu.

“Bahkan di Sydney, Australia, lebih 300,000 rakyatnya berarak di jalan raya membela perjuangan rakyat Palestin,” katanya ketika menyampaikan Pidato Presiden dan merasmikan Konvensyen Nasional 2025 Amanah di sini hari ini.

Selain itu, kebangkitan masyarakat Eropah semakin digeruni Trump antaranya Presiden baharu Ireland, Catherine Connolly yang lantang menentang Isreal dalam kempen pilihan raya negara itu.

“Paling hebat lagi kita lihat bangun dan menang dalam pilihan raya, seorang individu, Catherine Connolly, wanita berumur 68 tahun, sudah diisytihar Presiden Ireland.

“Dalam temubual, beliau mengatakan Israel negara pengganas, ini bukan pemimpin dari negara Arab yang mengisytiharkan Israel negara pengganas tapi pemimpin wanita dari Ireland,” katanya.

Jejak Catherine turut diikuti Zohran Mamdani di mana dalam kempen pilihan raya Datuk Bandar New York, beliau lantang membela perjuangan rakyat Palestin.

“Kita lihat Zohran Mamdani tanpa segan silu menyokong perjuangan rakyat Palestin, mengajak rakyat AS menolak Donald Trump, menolak sikap AS yang membantu Israel.

“Dia menang menjadi Datuk Bandar New York, bukan ketua kampung Jeli, bukan ahli Majlis Pekan Pahang, bukan bandar Oklahoma, ini Datuk Bandar New York.

“Pusat segala lobi, Wall Street Journal, dengan tokey-tokey Yahudi yang kaya-kaya membiayai lawan Mamdani dan dia mencapai kemenangan dengan cemerlang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast