Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 23 tahun mengalami kerugian sebanyak RM9,000 selepas menjadi mangsa ugutan penyebaran video lucah oleh wanita yang dikenalinya di aplikasi mencari kenalan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Batu Caves, pada Rabu lalu.

Menurut beliau, mangsa pada awalnya berkenalan dengan suspek melalui aplikasi berkenaan sebelum mereka bertukar nombor telefon dan mula berhubung menerusi aplikasi WeChat.

“Suspek mula hubungi mangsa dan menunjukkan minat dan mula buat panggilan video melalui apps wechat.

“Semasa sesi panggilan itu, suspek meminta mangsa menanggalkan bajunya dan berbogel dan begitu juga suspek dan turut berpura-pura melakukan perkara sama bagi meyakinkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selepas panggilan video tersebut, suspek mulai menghantar mesej ugutan melalui aplikasi Whatsapp kepada mangsa dengan mengugut untuk menyebarkan video berkenaan jika enggan membuat bayaran.

Ujarnya, mangsa kemudian membuat dua bayaran kepada suspek melalui akaun sebuah bank digital yang mempunyai kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Tambah Noor Ariffin, siasatan kini menjurus kepada usaha mengenal pasti pemilik akaun bank digital berkenaan serta nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast