KUANTAN – Seorang lelaki Orang Asli maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 63, Jalan Temerloh-Pos Iskandar, Bera pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku pukul 9.50 pagi ketika mangsa membonceng sebuah motosikal dalam perjalanan dari arah Bukit Gemuruh menghala ke Tembangau.
“Siasatan awal mendapati, motosikal jenis Yamaha Y15ZR dinaiki mangsa hilang kawalan, terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum merempuh tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Zulkiflee, motosikal itu kemudian terjatuh ke gaung di sebelah kiri laluan menghala ke Pos Iskandar.
Beliau berkata, mangsa bernama Nadan a/l Pitok, 50, mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta patah tangan akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penunggang motosikal itu yang berusia 35 tahun pula dilaporkan turut mengalami kecederaan di bahagian kepala serta tangan dan dibawa ke Hospital Bera untuk diberikan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















