KUALA LUMPUR – ‘Minyak percuma kepada 500 kenderaan’ – itu janji Proksi Mahasiswa sekiranya berjaya memenangi 10 daripada 13 kerusi dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun ini.
Tawaran itu diumumkan wakilnya, Mukmin Nusril ketika sesi Debat Demokrasi Kampus di UKM semalam sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan warga kampus yang terkesan dengan kos sara hidup.
“Perjuangan mahasiswa mesti diterjemahkan melalui tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka. Tawaran minyak percuma ini simbol kesungguhan kami untuk terus berkhidmat kepada mahasiswa,” katanya.
Menurut Mukmin, inisiatif itu bukan janji kosong sebaliknya bukti kebertanggungjawaban Proksi Mahasiswa membantu pelajar yang menggunakan kenderaan untuk urusan harian.
Proksi Mahasiswa dalam kenyataannya turut menegaskan akan terus memperjuangkan dasar berteraskan kesejahteraan, akauntabiliti, tanggungjawab sosial dan fokus terhadap kebajikan sebenar mahasiswa UKM. – MalaysiaGazette















