Gambar keratan buku yang dikoyak

TEMERLOH – “Saya faham kalau anak saya dimarahi jika buat salah, tapi cara ustazah itu langsung tidak menunjukkan sifat sebagai seorang pendidik.”

Itu luahan ibu kepada seorang murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Mentakab, di sini selepas buku yang dibeli anaknya menggunakan duit simpanan sendiri dikoyak seorang guru ketika selesai menjawab peperiksaan akhir tahun KAFA, Khamis lalu.

Menurut wanita itu, kejadian berlaku selepas anaknya yang berusia sembilan tahun itu selesai menjawab kertas soalan dan sedang membelek buku hiburan kanak-kanak baharu yang dibeli di kantin sekolah pada waktu rehat sesi pagi.

“Ustazah datang tanya dia, ‘awak buat apa tu?’. Lepas tu ustazah terus ambil dan koyakkan buku tu depan dia. Anak saya cuma senyap sebab terkejut dan sedih.

“Buku tu harga RM2 saja tetapi nilainya besar sebab dibeli dengan duit simpanan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Difahamkan, ustazah yang berusia dalam lingkungan 20-an terbabit merupakan guru ganti kelas berkenaan yang baharu mengambil alih selepas guru asal bertukar.

“Saya tak kenal ustazah itu sebab baru masuk. Tetapi tindakan dia sangat kasar dan tidak wajar dilakukan terhadap murid yang tak buat salah. Kalau nak tegur pun, tegurlah dengan cara baik,” katanya lagi.

Jelas wanita berusia 48 tahun itu, ketika ustazah tersebut menyoal anaknya tentang buku berkenaan, beberapa murid lain turut menjawab bahawa buku itu dibeli semasa jualan buku yang berlangsung pada waktu pagi hari tersebut di kantin sekolah.

Namun, guru berkenaan dikatakan terus memarahi dan mengoyakkan buku itu sambil menegaskan bahawa murid datang ke sekolah untuk belajar, bukan bermain.

“Setakat ini, ustazah itu masih belum menghubungi saya untuk memohon maaf,” katanya.

Wanita itu turut memaklumkan bahawa sepupu lelaki anaknya yang belajar di kelas sama turut menceritakan perkara sama mengenai kejadian itu.

Tambahnya, anak kedua bongsunya itu mempunyai kad OKU mild disleksia dan sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kerana mengikuti kelas tuisyen tambahan.

Dia berkata, kejadian itu telah dilaporkan kepada guru besar sekolah untuk siasatan lanjut dan masih menunggu perkembangan seterusnya.

Difahamkan juga, pada hari kejadian, terdapat jualan buku oleh penerbit Rakan Didik Publications dijalankan di kantin sekolah berkenaan dengan kebenaran pihak pentadbiran sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast