KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berpandangan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga perlu dimansuhkan sekiranya amalan peperiksaan dalam sistem pendidikan negara dianggap melahirkan generasi `burung kakak tua’.
Malah beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) berkata, Penilaian Pelajar Untuk Program Antarabangsa (PISA) yang diuruskan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) juga wajar dimansuhkan kerana turut menggunakan format peperiksaan.
Menurutnya, adalah lebih baik juga digunakan sepenuhnya gred pentaksiran bilik darjah (PBD) bagi memohon kemasukan ke universiti sekiranya amalan peperiksaan dianggap melahirkan generasi pelajar `burung kakak tua’.
“Sebenarnya peperiksaan tidak menghasilkan `burung kakak tua’.
“Yang menghasilkan `burung kakak tua’ ialah tahap keupayaan membina soalan peperiksaan dan budaya kita memahami amalan peperiksaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan akhbar yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad yang mendakwa, mengembalikan semula peperiksaan utama ke dalam sistem persekolahan selepas dimansuhkan akan melahirkan generasi `burung kakak tua’.
Generasi yang dimaksudkan Mohd Azam itu ialah mereka yang cemerlang di atas kertas tetapi tidak mampu menggunakan ilmu untuk menyumbang.
Sementara itu, Anuar berkata, dakwaan peperiksaan kononnya melahirkan generasi `burung kakak tua’ berpunca daripada tahap kepakaran membina soalan.
Jelas beliau, sekiranya soalan hanya pada aras rendah yang hanya memerlukan keupayaan murid untuk mengingat semula untuk menjawab soalan peperiksaan, maka ia akan menghasilkan generasi `burung kakak tua’.
“Tetapi jika aras soalan peperiksaan ialah memerlukan murid-murid berfikir di aras tinggi seperti menganalisis, menyelesaikan masalah, menilai dan mencipta idea baharu, peperiksaan tidak akan menghasilkan `burung kakak tua’,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa supaya budaya seperti menggalakkan `latih tubi’ dan menghafal skema soalan-soalan tahun sebelumnya dan soalan ramalan dihentikan kerana ia menyebabkan amalan peperiksaan disalah erti.
Selain itu, katanya, budaya membandingkan sekolah, daerah dan negeri mana paling cemerlang dalam peperiksaan juga dilihat menjadi punca kepada pandangan negatif terhadap peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
“Bukan hanya peperiksaan, jika budaya bertanding ‘sekolah siapa paling cemerlang’ kekal di dalam sistem pendidikan, PBD juga akan mengalami nasib yang sama seperti peperiksaan.
“Sepatutnya kita betulkan dahulu budaya melihat peperiksaan. Peperiksaan bukan alat bertanding sekolah siapa paling hebat. Bukan itu tujuan peperiksaan,” katanya.
Dalam masa sama, Anuar turut membuat perbandingan dengan Singapura yang mana negara itu masih lagi mengekalkan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) iaitu amalan peperiksaan seperti UPSR sehingga ke hari ini.
“Tidak ada cadangan untuk memansuhkan PSLE. Malah PSLE telah ditambah baik pada 2024. Apakah Singapura melahirkan generasi `burung kakak tua’?” soalnya. – MalaysiaGazette

















bila menteri jadi bodoh.
lebih bodoh dari pelajar sebab memperbodohkan bangsa