KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pelaksanaan projek perintis Pembangunan Berorientasikan Persaraan atau Retirement-Oriented Development (ROD) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan KWEST Sdn. Bhd., anak syarikat pembangunan hartanah milik KWAP bagi memenuhi keperluan populasi warga emas yang semakin meningkat di Malaysia.
Projek perintis ini akan dibangunkan di atas tanah Baitulmal seluas kira-kira 10 ekar milik MAINPP, sekali gus memperkenalkan model kerjasama baharu antara pelabur institusi dan majlis agama negeri bagi menyokong pembangunan komuniti yang mampan.
KWEST akan bertindak sebagai pengurus pembangunan, menyelia perancangan serta pelaksanaan projek bagi pihak KWAP.
Inisiatif ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebahagian daripada agenda Belanjawan 2026, mencerminkan commitment KWAP dalam memperkasa kesejahteraan negara selaras dengan prinsip Ekonomi Madani melalui pelaburan yang bukan sahaja menjana pulangan kewangan tetapi turut memberi nilai sosial kepada masyarakat.
Dengan menitikberatkan aspek kemampuan dan fleksibiliti, konsep gaya hidup berdikari ini menawarkan pilihan pajakan serta program terancang bersama MAINPP yang memperkayakan kehidupan pesara melalui pembelajaran berterusan dan jalinan sosial.
Inisiatif ini dibuka kepada orang awam dengan keutamaan diberi kepada pesara.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWAP untuk membangunkan ekonomi warga emas yang inklusif dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed, berkata, inisiatif ini memperlihatkan komitmen KWAP untuk memperkukuh agenda nasional di bawah Ekonomi Madani melalui pelaburan yang menjana nilai kewangan dan sosial.
Menerusi projek perintis ini, KWAP menterjemahkan dasar kerajaan kepada hasil yang nyata, serta menyokong kesejahteraan warga emas di Malaysia,” katanya.
Projek perintis ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM300 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi membolehkan pembangunan seumpamanya dilaksanakan di negeri-negeri lain.
Menurutnya, KWAP akan terus meneroka potensi model ini untuk diguna pakai di seluruh negara, sejajar dengan peranannya sebagai pengurus pelaburan jangka panjang yang komited meningkatkan kesejahteraan pesara dan memberikan nilai bermakna kepada masyarakat selaras dengan falsafah Matlamat Melangkaui Pulangan. – MalaysiaGazette
















