SHAH ALAM – Kerja-kerja perobohan rumah di Lot 11113, Kampung Jawa, di sini yang dijadualkan pada Selasa ini bagi memberi laluan kepada pembinaan Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) ditangguhkan selama dua minggu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, penangguhan itu dibuat selepas beliau mengemukakan permohonan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memberi ruang kepada penduduk terlibat berpindah ke penempatan baharu di bawah program perumahan SmartSewa.
“Saya telah memohon lanjutan tempoh sehingga akhir bulan ini memandangkan sebahagian penduduk sedang menerima bantuan untuk berpindah ke program perumahan SmartSewa oleh kerajaan negeri.
“Terdapat antara mereka yang merupakan warga emas dan berusia, jadi mereka memerlukan masa tambahan untuk menguruskan pemindahan barangan ke kediaman baharu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, permohonan itu dibuat selepas mendapat aduan dan rayuan daripada penduduk yang masih belum sempat berpindah sepenuhnya, termasuk keluarga yang sedang menunggu proses kelulusan unit SmartSewa mereka.
“Saya amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk, terutama golongan warga emas dan keluarga berpendapatan rendah. Mereka bukan enggan berpindah, tetapi memerlukan sedikit masa tambahan untuk menyesuaikan diri dan menyelesaikan urusan pemindahan,” ujarnya.
Menurutnya, keputusan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini bimbang dengan notis pengosongan tujuh hari yang dikeluarkan pada 3 November lalu.
“Kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan tidak akan membiarkan mana-mana keluarga terjejas tanpa tempat berteduh. Saya berterima kasih kepada MB Selangor atas keprihatinan dan pertimbangan beliau terhadap permohonan ini,” ujarnya.
Gunaraj turut memaklumkan bahawa surat rasmi penangguhan daripada Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat dan akan diserahkan kepada semua penduduk terlibat.
“Surat ini penting sebagai pengesahan rasmi kepada penduduk supaya mereka tidak lagi berasa bimbang atau tertekan dengan tarikh perobohan yang sepatutnya berlangsung minggu ini,” jelasnya.
Katanya lagi, selain memberi masa kepada penduduk untuk berpindah, penangguhan ini juga membantu pihak berkuasa menyelaras proses pengosongan dan pemindahan dengan lebih teratur, termasuk penyediaan bantuan logistik kepada mereka yang memerlukan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor menetapkan tempoh terakhir kepada 19 pemilik tanah di Kampung Jawa yang masih enggan mengosongkan kawasan pembinaan WCE selepas mesyuarat pemantauan diadakan awal bulan ini.
Namun, selepas mengambil kira keadaan semasa serta kesediaan beberapa keluarga yang telah pun menerima tawaran SmartSewa, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan lanjutan tempoh dua minggu bagi memastikan semua pihak terbabit dapat berpindah dengan selamat. -MalaysiaGazette
















