KUALA LUMPUR – Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka bermula pada 13 November 2025 dan berterusan sehingga Mac 2026.
Dalam tempoh MTL ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.
Manakala tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko
kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat MTL dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web
www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638. – MalaysiaGazette














