KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori rosak di Kilometer 97, Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, Sepiring, Sarawak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati motor tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar belakang lori yang rosak di bahu jalan.
“Susulan daripada insiden itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Pasangan suami isteri tersebut disahkan meninggal dunia di kawasan kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TambahMuhamad Rizal, pasangan yang berumur 28 tahun itu dibawa ke Hospital Mukah bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, saksi kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-316 27137 atau 084-871 222 bagi mwmbantu siasatan. – MalaysiaGazette















