Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2025 di Marriott Hotel, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 NOVEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menumpukan untuk melaksanakan dua arahan lanjut oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, dua arahan itu adalah membuka semula atau meneruskan semula siasatan melibatkan kedua-dua kes, serta mengemukakan keberadaan Raymond.

Jelas beliau, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kerajaan berdepan komitmen kewangan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Dua perkara ini melibatkan bidang kuasa polis. Jadi fokus saya adalah dengan keputusan mahkamah yang secara spesifik mengarahkan polis dua perkara ini.

“Itu yang sedang saya usahakan dengan Ketua Polis Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan program World Day Against Trafficking In Persons (WDAT) 2025 di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melawat reruai pada Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2025 di Marriott Hotel, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 NOVEMBER 2025.

Saifuddin ditanya berkenaan hasil pertemuan beliau dengan pihak AGC Jumaat lalu, mendapatkan taklimat lengkap berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersabit kes Amri dan Raymond.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin selain membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.

Bagaimanapun, AGC pada Khamis lalu, memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan Amri dan Raymond.

Sementara itu, dalam kes melibatkan suami M. Indira Gandhi, Saifuddin Nasution berkata, polis akan mengambil langkah sewajarnya berhubung sebarang dakwaan bersabit kes tersebut.

“Saya pun tak dapat dan tak diberi apa-apa taklimat lagi tentang perkara (dakwaan) tersebut, jadi saya akan minta polis menyediakan saya maklumat itu supaya saya dapat terangkan dengan jelas kepada media,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution ditanya berkenaan laporan di media sosial yang mendakwa bekas suami Indira Gandhi iaitu Riduan Abdullah, masih berada di Malaysia dan turut menebus skim bantuan kerajaan seperti inisiatif Budi Madani Ron95 (BUDI95) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Hantaran itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh polis pada 2016 bagi mengesan keberadaan Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, lengkap dengan nombor kad pengenalannya.

Hantaran itu turut membandingkan dengan laporan media pada 2020 yang menyatakan KDN melalui siasatan polis mendapati Riduan tidak lagi berada di dalam negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast