Majlis Bandaraya Subang Jaya

KUALA LUMPUR – Projek jejambat (flyover) baharu yang menghubungkan Persiaran Lagoon Selatan ke Subang–Kelana Link merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan aliran trafik di Subang Jaya (Persiaran Kewajipan), Sunway, dan USJ.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata, reka bentuk projek ini telah melalui proses libat urus sebanyak dua kali di peringkat komuniti pada 19 Mei 2023 dan 13 Oktober 2023 di Padang Assam, SS14.

Menurutnya, sesi Townhall pada 22 November 2024 melibatkan komuniti serta agensi teknikal dan hasil sesi libat urus tersebut, MBSJ telah mengambil kira input penduduk dan agensi berkaitan bagi pelaksanaan projek tersebut.

Semua pandangan telah diambil kira untuk memastikan penyuraian trafik dijalankan menyeluruh, berkesan, dan memberi manfaat optimum kepada komuniti.

Malah, projek ini juga telah melalui penilaian terperinci berhubung keperluan teknikal termasuk Kajian Impak Trafik (TIA), Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA), serta semakan dan maklumbalas oleh Jabatan Kerja Raya Petaling, New Pantai Expressway (NPE) dan pihak Polis Diraja Malaysia.

Selain itu, reka bentuk mematuhi semua keperluan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan dilaksanakan sepenuhnya di atas tanah kerajaan.

“Pihak MBSJ mengesahkan projek ini telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).

“Oleh itu tiada keperluan menyediakan kajian penilaian impak sosiak dan penilaian impak alam sekitar memandangkan projek ini hanya melibatkan pembinaan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia tidak melibatkan proses pengambilan balik tanah,” katanya di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast