KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu rombakan Kabinet tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan esok.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan lebih tertumpu kepada keputusan sama ada kerajaan akan membuat rayuan terhadap sesuatu perkara dan keputusan muktamad akan dibuat selepas mendengar pandangan daripada Peguam Negara.
“Mesyuarat Jemaah Menteri itu, seperti yang saya bayangkan, memuktamadkan soal sama ada merayu atau tidak. Tapi seperti biasa, negara ini negara hukum, ada prosesnya.
“Jadi, kita dengar dulu pandangan Peguam Negara sebelum membuat keputusan.
“Bayangan atau pendirian saya telah pun saya sampaikan dan kita akan muktamadkan esok setelah berbincang dengan Jemaah Menteri,” katanya dipetik dari rakaman video Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, Sabah hari ini.
Mengulas reaksi sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar menegaskan, perkara itu tidak berasas kerana kerajaan kekal tegas dalam memperjuangkan pelaksanaannya.
“Yang marah-marah itu tak ada maknanya. Kerajaan Madani tegas tentang MA63, malah lebih kukuh melaksanakannya dan lebih terjamin dari segi peruntukan kepada Sabah berbanding sebelum ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















