KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa (JK) Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menafikan beliau berkuasa mutlak dalam semua keputusan yang dibuat dalam kelab tersebut.
Beliau sebaliknya menjelaskan, semua keputusan dibuat secara bersama melibatkan pimpinan tertinggi.
Kata Shahril, beliau hanyalah sekadar ketua JK teknikal dan Selangor memiliki ramai watak penting dalam pengurusannya.
“Segala keputusan yang berlaku dalam kelab adalah keputusan bersama. Saya hanyalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor dan di dalam jawatan kuasa itu ada nama-nama lain yang terkenal dalam dunia bola sepak.
“Ingin juga saya tekankan di sini, sekiranya kelab mahu mengambil atau melepaskan pemain, kesemua ahli jawatankuasa ini perlu bersetuju, ia bukan dengan persetujuan majoriti sahaja. Jatuh bangun kelab ini, semua perlu bertanggungjawab,” katanya memetik laporan Stadium Astro hari ini.
Shahril turut memohon maaf kepada penyokong atas situasi sukar yang dialami Selangor ketika ini terutamanya selepas sah tersingkir daripada Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Beliau juga mengakui tidak mengambil sebarang gaji apabila menjawat jawatan tersebut dan melakukannya atas rasa cinta terhadap Selangor.
“Saya buat semua ini atas dasar minat dan rasa sayangkan pasukan Selangor. Beri saya peluang, saya seorang profesional, saya dari bidang korporat.
“Kelab ini bukan tempat saya cari rezeki atau saya cari makan, di sinilah saya luahkan rasa cinta saya.
“Saya akan meninggalkan kelab ini satu hari nanti. Saya di Selangor FC bukannya bergaji, sudah tujuh-lapan tahun,” dedah Shahril. – MalaysiaGazette
















