Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bercakap pada sidang media berkenaan Tangkapan Rampasan OP Kontraban oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JDKNKA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2025.

SHAH ALAM – Enam lelaki warga India yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki senegara mereka yang mati di tangga rumah kedai di Pusat Bandar Puchong dekat sini sudah dilepaskan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan pihaknya kerana keterangan yang diambil daripada kesemua suspek terlibat masih belum dapat membantu siasatan.

“Kita telah menahan mereka namun begitu keterangan diperoleh tidak dapat membantu untuk memastikan sama ada suspek terlibat.

“Justeru, enam individu itu telah diberi jamin sehingga lain-lain keterangan diperolehi dan kita juga masih lagi menjalanan siasatan.

“Insya-Allah kami percaya dalam waktu terdekat, kita akan dapat maklumkan penglibatan suspek utama dan mencari motif utama kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Anggota polis unit forensik melakukan pemeriksaan selepas seorang lelaki warganegara India berusia 49 tahun ditemui mati di tangga rumah kedai di kawasan Pusat Bandar Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 06 NOVEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki warga India yang yang juga pemegang status pemastautin tetap berusia 49 tahun ditemui mati dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong,

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan enam lelaki senegara yang juga rakan serumah kepada suspek utama yang sudah dikenal pasti. 

Suspek utama dalam kes itu adalah seorang lelaki warga India dan usaha mengesan sedang digiat dilakukan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau juga memaklumkan, setakat ini empat saksi termasuk pengad kes sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast