KUALA LUMPUR – Anggota Kabinet yang bermesyuarat hari ini digesa mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bersabit kes kehilangan aktivis, Amri Che Amat dan pastor Raymond Koh.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, sekiranya AGC benar-benar merasakan rayuan perlu dibuat maka rayuan itu seharusnya hanya melibatkan jumlah ganti rugi (quantum).
Jelasnya, Mahkamah Tinggi selepas mendengar sepenuhnya keterangan dan saksi telah membuat keputusan yang jelas dan beralasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, tambah beliau, dengan memfailkan rayuan terhadap liabiliti, kerajaan seolah-olah mencabar dapatan fakta dan undang-undang oleh mahkamah yang secara tidak langsung memberi gambaran polis adalah betul dan hakim telah tersilap.
“Tindakan ini tidak selaras dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat semula kes-kes tersebut dan menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen kerajaan terhadap kebenaran, ketelusan dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, AGC memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan Amri dan Raymond.
AGC berkata, rayuan difailkan susulan keputusan Hakim Datuk Su Tiang Joo yang memutuskan PDRM dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.
Terdahulu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.
Ia susulan perintah supaya kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Raymond hilang pada 13 Februari 2017. – MalaysiaGazette
















