Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempersoalkan mengapa nilai pampasan yang ditetapkan mahkamah dalam kes melibatkan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond berbeza.

Sedangkan, ujar presidennya, Datuk Ibrahim Ali, `nilai’ nyawa kedua-dua individu berkenaan adalah sama sekali gus tidak boleh dikelaskan sama ada dari sudut kaum, agama, kelas dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan supaya pampasan kepada keluarga Amri disemak semula dan disamakan dengan kadar pampasan kepada keluarga Raymond.

Dalam masa sama, ujarnya, Kabinet juga tidak boleh berdiam diri dan perlu menyatakan pendirian sama ada negara mengiktiraf kesaksamaan nyawa rakyatnya atau memilih untuk membiarkan jurang itu kekal.

“Sistem keadilan mesti bersih daripada tafsiran selektif. Jika dua kes dengan asas penghakiman yang sama membawa pampasan yang terlalu jauh berbeza, maka rakyat akan mempersoalkan adakah undang-undang ini betul-betul adil atau hanya adil kepada sesetengah orang?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ibrahim, tindakan pihaknya membangkitkan isu itu bukan kerana perjuangan agama atau sentimen kelompok tetapi melibatkan soal negara dalam menjaga maruah setiap warganya.

“Sama ada AGC akan merayu atau tidak terhadap dua kes ini, terpulanglah. Apa pun, pampasan mesti disamakan kerana kedua-dunya hilang.

“Jika benar Malaysia negara yang menjunjung undang-undang, buktikan sekarang,” katanya.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.

Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.

Ia susulan perintah supaya kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.

Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Raymond hilang pada 13 Februari 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast