Pasukan Malaysia catat kejayaan cemerlang pada Kejohanan Memanah berkuda Piala Negara Asia IHAA 2025 peringkat 2 di Bogor, Indonesia

KUALA LUMPUR – Pemanah muda, Abdurrahman Ahmad Muaz meraih emas individu keseluruhan selepas memenangi tiga tempat pertama daripada enam format pertandingan disertainya selain dua perak dan satu gangsa pada pada Kejohanan Memanah Berkuda Piala Negara Asia IHAA 2025 peringkat 2 di Bogor, Indonesia semalam.

Kontinjen Malaysia cemerlang apabila merangkul gelaran juara individu dan naib juara berpasukan pada kejohanan yang sama.

Emas dimenangi menerusi Raid R234 (junior), Skirmish 90 (junior) dan Skirmish 90 (keseluruhan) manakala dua perak melalui Tower T90 (junior) dan Raid R234 (keseluruhan) serta gangsa Tower T90 (keseluruhan).

Turut cemerlang bagi kategori individu adalah Abdullah Umar Amir Shaidin yang meraih satu perak menerusi Skirmish 90 (senior) selain dua gangsa melalui Tower T90 (senior) dan Raid R234 (senior).

Seorang lagi wakil negara, Zulfadhli Mohd Yusof pula meraih satu perak menerusi Raid R234 (senior) dan gangsa Skirmish 90 (senior).

Dalam pada itu, pingat naib juara atau perak negara pula dimenangi menerusi acara berpasukan.

Pasukan memanah berkuda negara memastikan kejayaan itu selepas empiercing ketepatan, ketenangan dan kemahiran luar biasa dalam tiga format utama pertandingan iaitu Tower 90, Raid 234, dan Skirmish 90.

Kejohanan anjuran Gabungan Memanah Berkuda Antarabangsa (IHAA) ini disertai sembilan negara yang membabitkan 37 penunggang kuda elit.

Kontinjen negara pada kejohanan kali ini diketuai Samsudin Mohd Baharun selaku pengurus pasukan manakala Abu Dzar Zakaria sebagai jurulatih.

“Atlet kita menunjukkan disiplin, semangat juang dan kesatuan sepanjang pertandingan. Pingat perak ini adalah detik yang membanggakan buat Malaysia,” kata Samsudin selepas kejohanan.

“Kemenangan ini adalah hasil latihan bertahun-tahun, kerjasama pasukan, dan semangat kesukanan yang tinggi dalam arena memanah berkuda Malaysia. Tiga emas yang diraih Abdurrahman membuktikan atlet kita sudah berada di tahap dunia,” kata Abu Dzar pula.

Dalam pada itu, Liga Memanah Berkuda Malaysia dalam kenyataan berkata kejayaan cemerlang itu menandakan satu pencapaian penting dalam arena memanah berkuda negara sekali gus membuktikan atlet negara ini mampu bersaing di pentas Asia di bawah IHAA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast