KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori ditahan kerana tidak memiliki Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah dalam Ops Penyamaran di Lebuhraya Grand Sepadu, Klang semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, tindakan pemandu yang membawa lori jenis low loader itu dikesan selepas membawa muatan rolled steel coil tanpa mematuhi syarat lesen dan undang-undang jalan raya.
“Kita telah membuka kertas siasatan atas kesalahan melanggar syarat lesen pengendali di bawah Seksyen 57, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“JPJ juga akan memohon kepada mahkamah untuk melucut hak kenderaan tersebut di bawah Seksyen 80 akta yang sama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor, hari ini.

Tegas beliau, tindakan tidak bertanggungjawab pemandu terbabit boleh meningkatkan risiko kemalangan mengancam keselamatan orang awam dan pihaknya memandang seirus terhadap kesalahan seumpama itu.
“Kita amat kesal dengan sikap segelintir pengendali atau syarikat yang membiarkan individu tanpa lesen sah dalam mengendalikan kenderaan berat.
“Kenderaana bersaiz besar dan membawa muatan berisiko tinggi boleh menggelongsor atau jatuh jika tidak diikat dengan sempurna ditambah memandu secara berbahaya,” jelasnya.
Tegasnya, JPJ akan terus mempertingkatkan pelaksanaan operasi dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Amaran keras kepada semua pihak pengendali kenderaan perdagangan agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu tanpa lesen memandu yang sah kendali kenderaan berat.
“Pihak pengendali atau syarikat juga hendaklah memastikan setiap kenderaan diselenggara dengan baik serta pemandu mematuhi syarat lesen dan peraturan jalan raya ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















