Perwakilan yang hadir pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 November 2025. (GAMBAR FAIL).

KEPALA BATAS – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kepala Batas menyatakan sokongan penuh terhadap usul penstrukturan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berasaskan kos sara hidup setempat yang diluluskan dalam konvensyen nasional parti itu minggu lalu.

Ketuanya, Abrar Sadiq berkata, langkah itu membuktikan Amanah sebagai parti yang berfikir jauh, matang dan benar-benar berpihak kepada rakyat marhaen.

“Penilaian STR secara pukal tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Cadangan membangunkan model zonifikasi STR yang mengambil kira pendapatan median, indeks harga pengguna (CPI) dan kos keperluan asas tempatan merupakan langkah adil dan realistik dalam memahami tekanan ekonomi rakyat hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abrar.

Abrar berkata, walaupun terdapat sedikit kekecohan dan perbezaan pandangan dalam konvensyen, Amanah tetap menunjukkan kematangan politik dengan terus berpaksikan keberanian dan prinsip dalam memperjuangkan dasar yang menyentuh kepentingan rakyat.

Beliau berkata, selain isu STR, konvensyen turut meluluskan dua lagi usul penting iaitu mengkaji semula sistem pilihan raya First Past The Post (FPTP) dan menilai pelaksanaan sistem Proportional Representation (PR) yang lebih adil serta mencerminkan undi sebenar rakyat.

“Usul ketiga pula menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkaitan kecerdasan buatan dan integriti digital bagi melindungi hak cipta, hak personaliti serta kandungan peribadi rakyat daripada penyalahgunaan teknologi seperti deepfake dan manipulasi imej.

“Tiga usul ini membuktikan bahawa Parti Amanah bukan sekadar melaungkan slogan rahmah tetapi benar-benar menghidupkan nilai tersebut melalui dasar yang berasaskan ilmu, keberanian dan keinsafan terhadap nasib rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast