Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal Disember ini.

Menurut sumber, ia dikatakan bakal menjadi antara penyusunan semula paling signifikan sejak penubuhan kerajaan Madani dengan tumpuan kepada pengukuhan pasukan ekonomi, pengurangan saiz Kabinet dan kesinambungan perkhidmatan menteri.

Menurut sumber itu lagi, dua pelantikan utama bakal mencuri perhatian Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) yang akan kembali ke Kabinet sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Rombakan kali ini bukan kosmetik. Ia langkah penstrukturan semula yang dirancang teliti bagi memastikan pasukan pentadbiran lebih kecil, cekap dan fokus terhadap pelaksanaan dasar,” kata sumber tertinggi sebuah parti kepada MalaysiaGazette.

Antara pembaharuan terbesar penggabungan Kementerian Ekonomi ke bawah Kementerian Kewangan menjadikannya berfungsi semula seperti Unit Perancang Ekonomi di bawah struktur terdahulu.

Antara nama yang disebut bagi menerajui jabatan baharu itu ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang berperanan sebagai Penasihat Ekonomi Kanan Kerajaan, tambahnya.

Dalam masa sama, KJ juga disebut-sebut akan kembali ke barisan Kabinet selepas hampir dua tahun berada di luar kerajaan.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KJ akan mengambil alih portfolio Alam Sekitar dan Air daripada Nik Nazmi Nik Ahmad yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan selepas kekalahan pada pemilihan parti Keadilan tahun ini. Keputusan ini sudah dimuktamadkan,” kata sumber dalaman itu.

Difahamkan, pucuk pimpinan UMNO dijangka mengumumkan keputusan rasmi mengembalikan keahlian KJ yang sebelum dipecat parti itu.

Dalam masa sama, Johari dikatakan akan dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menggantikan Tengku Zafrul.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut mendapat perhatian ialah kenaikan Datuk Seri R. Ramanan yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggantikan Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Selain itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dikatakan akan dipindahkan ke kementerian lain sebagai sebahagian daripada pelarasan kecil peringkat timbalan menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa anggota Kabinet yang merupakan senator turut dijangka disambung tempoh perkhidmatan bagi penggal kedua di Dewan Negara bagi memastikan kesinambungan pentadbiran.

Antaranya ialah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sumber turut memaklumkan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Sg Petani, Taufiq Johari juga disebut-sebut dalam senarai nama yang sedang diperhalusi.

Ia bagi meningkatkan penyertaan generasi muda dalam barisan baharu kerajaan.

Ruji Ubi

Selain itu, nama Datuk Ruji Ubi turut disebut-sebut sebagai calon dari Sabah untuk mengisi kuota negeri dalam barisan baharu Kabinet manakala Datuk Seri Amirudin Shari dijangka kekal sebagai Menteri Besar Selangor sekurang-kurangnya sehingga 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast