KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan yang menzahirkan komitmen menghormati prinsip Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas itu merupakan langkah tepat, sekali gus selari dengan semangat federalisme yang menjuarai hak negeri Sabah.
“Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas ini merupakan langkah yang tepat dan selaras dengan semangat federalisme, serta menghormati hak rakyat Sabah yang telah dijamin sejak dahulu lagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri diadakan hari ini bagi membincangkan penghakiman mahkamah berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut berkata gabungan tersebut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan semalam.
Jelasnya, BN turut menyambut baik langkah Putrajaya yang akan memulakan rundingan bersama kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan secara telus dan bertanggungjawab.
“BN turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi memastikan pelaksanaan Pemberian Khas ini dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan,” ujarnya.
Ahmad Zahid menegaskan, sejak awal lagi BN sentiasa berpegang kepada prinsip mempertahankan hak-hak negeri seperti digariskan dalam perjanjian dan perlembagaan Persekutuan, khususnya membabitkan kepentingan Sabah.
“Sejak dari awal, BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah, mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan serta berusaha memastikan setiap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri ini dilaksanakan secara adil dan berakauntabiliti,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa pendirian itu bukan hanya terpakai kepada Sabah, malah kepada negeri-negeri lain yang mempunyai hak serupa di bawah peruntukan undang-undang.
“BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan mana-mana negeri lain mengikut kerangka perundangan serta semangat Perlembagaan, demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah memutuskan kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga (Second dan Third Review Order) yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah, dan seterusnya membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama kerajaan negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Perintah tersebut menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan. – MalaysiaGazette
















