Penyampaian anugerah kepada Jacqueline (tengah) yang disampaikan oleh Asmady (kiri) bersama wakil daripada BRC, Dr. Valerie Mashman (kanan).

KOTA KINABALU – Profesor Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan, Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Borneo Research Council (BRC) Medal of Excellence, anugerah tertinggi  kepada tokoh penyelidik yang menunjukkan sumbangan luar biasa terhadap pembangunan ilmu dan pemahaman tentang Borneo.

Anugerah berprestij itu diumumkan oleh Borneo Research Council pada Julai 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan impak kerja penyelidikan Jacqueline dalam bidang ethnomusikolgi dan budaya Sabah.

Penglibatan aktif beliau bersama komuniti tempatan yang telah memperkaya pemahaman terhadap warisan, isu-isu masyarakat serta pembangunan kapasiti penyelidik muda di UMS turut menjadi faktor utama kepada pengiktirafan tersebut.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, pengiktirafan yang dianugerahkan ini membuktikan kemampuan penyelidik UMS untuk berdiri sebaris dengan pakar antarabangsa.

“Anugerah ini ibarat ‘Nobel Prize’ bagi penyelidikan Borneo, kerana ia bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan individu, tetapi juga komitmen universiti dalam memperkasa warisan dan budaya masyarakat tempatan,” katanya ketika ucapan aluan sempena Majlis Penganugerahan “Borneo Research Council Medal of Excellence” 2025. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSSK, Profesor Dr. Asmady Idris.

Sejak menyertai perkhidmatan awam Sabah pada tahun 1986, Jacqueline menerajui pelbagai inisiatif kebudayaan termasuk sebagai Pengarah Muzik dan Pegawai Penyelidik Budaya di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah, serta Ketua
Bahagian Penyelidikan Budaya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Sepanjang lebih dua dekad di UMS, beliau aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan projek komuniti yang memperkukuh bidang ethnomusikologi dan warisan budaya Borneo di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Menurut Jacqueline, pengiktirafan tersebut merupakan sebuah penghormatan yang besar dan membawa makna lebih mendalam baginya.

“Melihat senarai penerima terdahulu yang terdiri daripada tokoh-tokoh besar dalam bidang penyelidikan dan Sejarah borneo, saya tidak pernah bermimpi sama sekali untuk menerima anugerah yang begitu berprestij.

“Ini adalah sebuah penghormatan yang membawa makna luar biasa apabila mengambil kira sumbangan besar yang diberikan oleh penerima-penerima sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast