PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan tiga banduan yang telah menerima pengampunan terhadap hukuman mati dan diberikan hukuman pemenjaraan bertempoh tidak boleh mengemukakan permohonan semakan di bawah Akta 847.
Akta 847 melibatkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori serta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Sebaliknya, mereka hanya boleh mengemukakan permohonan semakan di bawah akta berkenaan jika Lembaga Pengampunan mengekalkan hukuman mati atau memberikan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat (natural life).
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan semakan pendakwa raya selepas berpuas hati Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa mengubah perintah Lembaga Pengampunan terhadap ketiga-tiganya.
Lembaga Pengampunan yang bersidang membenarkan G. Jiva, 55, warga Thailand Phrueksa Taemchim, 41, dan warga Zambia Mailesi Phiri, 48, menjalani hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh keputusan itu.
Panel berkenaan mengetepikan keputusan panel terdahulu yang membenarkan ketiga-tiganya yang telah menerima pengampunan terhadap hukuman mati atas sabitan mengedar dadah dan diberikan hukuman penjara 30 tahun (penjara seumur hidup), mengemukakan permohonan semakan.
Koram bersidang membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mengkaji semula keputusan panel itu pada 27 Ogos tahun lalu yang membenarkan banduan tersebut menyemak hukuman supaya pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap.
Mahkamah sebulat suara berpuas hati, permohonan semakan yang dikemukakan oleh pendakwa raya di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 mempunyai merit.
Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu dan membatalkan semua perintah yang dibuat berkaitan hukuman yang diputuskan terhadap ketiga-tiganya.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Mereka kemudiannya memohon kepada panel terdahulu di bawah Akta 847 untuk menyemak semula hukuman berkenaan supaya tempoh penjara mereka dikira bermula dari tarikh tangkap masing-masing.
Panel tiga hakim pada 27 Ogos 2024, dengan keputusan majoriti 2-1 membenarkan permohonan ketiga-tiga banduan berkenaan. Susulan keputusan itu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan semakan di bawah Kaedah 137.
Pada prosiding hari ini, Hakim Che Ruzima ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, panel tersebut mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula tiga kategori hukuman mati.
Ujarnya, kategori itu ialah hukuman mati yang disahkan oleh panel bersidang, hukuman mati yang dijatuhkan oleh panel yang mendengar rayuan dan hukuman hati yang dikekalkan oleh lembaga pengampunan setelah pengampunan ditolak.
Katanya, panel itu turut mempunyai bidang kuasa sementara untuk mengkaji semula hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang ditentukan oleh lembaga pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Namun demikian, mahkamah berpendirian, ketiga-tiga responden itu tidak lagi berstatus banduan akhir yang menunggu hukuman mati.
Ujar beliau, pemberian pengampunan sudah tentu mengubah status responden dari banduan akhir yang sedang menjalani hukuman mati kepada banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan bertempoh (penjara seumur hidup).
“Walaupun responden tidak berpuas hati dengan tarikh permulaan hukuman yang diputuskan lembaga pengampunan, ketidakpuashati responden tidak menjadikan keputusan lembaga pengampunan terbatal.
“Pada pandangan kami, banduan itu bukan lagi tergolong dalam kategori mereka yang telah dihukum mati yang membolehkan mereka membuat permohonan semakan.
“Keadaan berbeza apabila permohonan banduan itu untuk mendapatkan pengampunan ditolak atau pengampunan dibenarkan dan hukuman dipinda.
“Dalam keadaan itu, responden layak untuk memohon Mahkamah Persekutuan mengkaji semula hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat di bawah Perkara 2 dan Perkara 4 Akta 847,” ujar beliau.
Hakim Che Ruzima selanjutnya menyatakan, pihak pendakwaan turut menimbulkan persoalan yang menyentuh status keputusan lembaga pengampunan selepas panel berlainan dalam keputusan majoriti 2-1 pada 27 Ogos tahun lalu membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan banduan itu.
Menurut beliau, ia kerana keputusan panel itu telah mengubah ketiga-tiga keputusan lembaga pengampunan yang diberikan kepada banduan tersebut.
Dalam penghakimannya, Hakim Che Ruzima turut memberi maklum balas kepada persoalan yang dikemukakan iaitu sama ada panel bersidang boleh mengubah perintah yang telah diputuskan melalui kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDA) atau Yang di-Pertua Negeri menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami berpandangan bahawa tindakan responden mengemukakan permohonan bersamaan dengan tindakan mencabar keputusan pengampunan yang tidak dibenarkan sama sekali menurut undang undang.
“Begitu juga dengan isu bidang kuasa. Kami mendapati bahawa mahkamah ini tidak ada bidang kuasa untuk mengubah keputusan lembaga pengampunan,” ujarnya.
Hakim Che Ruzima selanjutnya menyatakan, walaupun keputusan lembaga pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar dan diadili secara kehakiman, responden responden tidaklah dibiarkan tanpa remedi.
Jelas beliau, banduan masih boleh mengemukakan permohonan baharu kepada pihak lembaga pengampunan untuk dipertimbangkan semula tarikh permulaan hukuman mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 54 dan juga Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Menurut beliau, bagi kesalahan mengedar dadah, hukuman penjara seumur hidup telah dihadkan kepada tempoh pemenjaraan selama 30 tahun sahaja.
Ujar Hakim Che Ruzima, lazimnya mahkamah akan mengambil kira tempoh reman sebagai tarikh permulaan kuatkuasa hukuman pemenjaraan kerana dalam tempoh reman tersebut, pesalah telah kehilangan hak untuk hidup bebas.
Sementara itu, Hakim Wan Ahmad Farid ketika menyampaikan penghakiman sokongannya menyatakan, pintu masih terbuka kepada responden untuk memfailkan petisyen baharu.
“Ini bukan penghujung jalan bagi responden dan mereka boleh memohon Lembaga Pengampunan mempertimbang semula tarikh permulaan hukuman penjara,” ujar beliau.
Pada prosiding itu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Saiful Edris Zainuddin dibantu oleh Tetralina Ahmed Fauzi, Solehah Noratikah Ismail dan Mohamad Arif Aizuddin Masrom mewakili pihak pendakwaan.
Peguam Abdul Rashid Ismail mewakili Mailesi, Datuk N. Sivananthan mewakili Jiva manakala K. Simon Murali yang mewakili Phrueksa. – MalaysiaGazette
















