Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz menyantuni anak-anak istimewa dalam Program “Pengukuhan Pendidikan Islam Kanak-Kanak Autisme: Ibrah Qurani & Sunnah” Dan “Jom Dhuha Anak Istimewa” bertempat di USIM baru-baru ini.

NILAI – Dua orang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasikan Modul Siri Sahabat Si Cilik: Haiwan Dalam al-Quran dan Hadis untuk memberi pendidikan Islam secara inklusif kepada anak-anak bekeperluan khas atau neurodivergen.

Modul ini satu inovasi yang berteraskan wahyu tetapi diolah dengan pendekatan kontemporari dan mesra kanak-kanak.

Penghasilannya diterajui oleh Dr. Maisarah Saidin dan Dr. Siti Mardhiyyah Kamal Azhar, masing-masing pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM dan dibantu pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi.

Penghasilan modul ini menunjukkan keupayaan ahli akademik USIM bersinergi antara ilmu Naqli dan Aqli untuk melahirkan sebuah penyelidikan berimpak tinggi yang menyantuni komuniti istimewa.

Projek Pembangunan modul ini dibiayai melalui Geran Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) 2025 oleh Kementerian Kewangan Malaysia yang diselaraskan oleh Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM.

Mengikut perancangan sebanyak 18 siri kisah haiwan di dalam Al-Quran dan hadis akan dihasilkan dalam tempoh setahun.

Sebanyak empat siri kisah haiwan iaitu unta, gajah, ikan paus dan burung hud-hud siap dibangunkan dan telah mula digunakan sebagai bahan pendidikan untuk anak-anak bekeperluan khas (neurodivergen) di IDEAS Autisme Centre (IAC) cawangan Nilai dan Port Dickson Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor.

Pelancaran Modul Siri Sahabat Si Cilik: Haiwan Dalam al-Quran dan Hadis ini telah disempurnakan oleh Pro-Canselor USIM,  Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz bersempena Program “Pengukuhan Pendidikan Islam Kanak-Kanak Autisme: Ibrah Qurani & Sunnah” Dan “Jom Dhuha Anak Istimewa” bertempat di USIM baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Tunku Zain Al-‘Abidin yang juga penaung IAC menyifatkan penghasilan modul ini satu langkah progresif yang cukup membanggakan.

“Ia membuktikan dengan pendekatan yang kreatif, berasaskan wahyu, dan berorientasikan keperluan khas, kita mampu menjadikan pendidikan Islam lebih inklusif dan mudah didekati oleh anak-anak syurga ini,” katanya.

Dr. Maisarah Saidin selaku ketua projek berkata, modul ini dibangunkan dengan mengetengahkan beberapa ciri istimewa sesuai dengan keperluan anak-anak neuorodivergen.

“Modul ini direka dengan pendekatan “3 dalam 1”, iaitu menggabungkan elemen pembacaan, visual/audio interaktif, dan aktiviti secara hands-on. Ia menjadikannya lebih daripada sekadar buku cerita biasa kerana ia bukan hanya membaca kisah, tetapi menghidupkan kisah melalui pelbagai medium pembelajaran.

“Selain itu, modul ini dibina khusus untuk menyokong pendidikan Islam inklusif, merangkumi kanak-kanak neurodivergen (seperti autism dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif, ADHD) dan kanak-kanak tipikal prasekolah. Ia sudah mempertimbangkan keperluan mereka dari segi kognitif, emosi dan sensori” ujarnya.

Tambahnya lagi, ciri-ciri tambahan lain adalah Reka bentuk mesra kanak-kanak; Pendekatan pelbagai deria (visual, auditori dan kinestetik); Naratif Qurani dalam bentuk yang releven dan menyentuh hati; dan Memupuk kemahiran sosial dan emosi.

Mengikut perancangan, setelah selesai 18 siri kisah haiwan dibangunkan, modul ini akan dicetak untuk jualan kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast