Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025 di Dewan Damar Sari, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 NOVEMBER 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa pembangunan sebenar negara bukan sekadar gedung atau teknologi.

Tetapi pembangunan manusia secara menyeluruh yang berpegang kepada nilai, akhlak dan tanggungjawab sosial.

Katanya, walaupun teknologi dan infrastruktur penting untuk kemajuan, nilai kemanusiaan, akhlak, keadilan, empati dan integriti tidak boleh diabaikan.

“Pembangunan manusia seutuhnya bermakna ada empati, keberhatian terhadap keluarga yang paling rendah, dan kita tidak meninggalkan aspek-aspek masyarakat yang memerlukan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, hari ini.

Menurut Anwar, kejayaan pembangunan negara bergantung kepada kesungguhan pemimpin dan pegawai dalam melaksanakan tanggungjawab.

Jelasnya, penjawat awam juga tidak perlu sekadar mengejar pangkat, anugerah atau pengiktirafan semata-mata.

“Apakah kita lakukan yang sebaiknya? Apakah dengan pangkat, jabatan atau anugerah tinggi, kita telah tunaikan amanah sepenuhnya? Pembangunan mesti mampu membela nasib yang tersisih, terbiar atau terpinggir,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kestabilan politik, keamanan negara dan kerjasama semua pihak menjadi asas kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan, meningkatkan ekonomi dan menjadikan negara mampu menangani cabaran serantau dan global.

Anwar juga menekankan kepentingan menyepadukan pembangunan tradisi dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, transformasi tenaga dan inovasi sambil mengekalkan nilai, agama, budaya dan perpaduan rakyat.

“Bagi negara seperti Malaysia, pencapaian ini bukan perkara mudah. Ekonomi sederhana tetapi kita berjaya menarik pelaburan tinggi dan mengekalkan kestabilan politik.

“Usaha kita adalah amanah. Kita mesti terus membangun diri, keluarga dan negara dengan nilai, keikhlasan dan kesungguhan. Ini bukan mudah, tetapi usaha yang betul akan menghasilkan kesan yang meyakinkan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, penjawat awam perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri dan menambah baik mutu perkhidmatan bukan sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

Beliau berkata, penjawat awam harus ada usaha tambahan untuk memperkukuh nilai keikhlasan, tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas sejajar dengan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menekankan kecemerlangan dalam setiap pekerjaan.

“Seperti yang saya sebut dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, kita perlu sentiasa merasa tertekan untuk memperbaiki diri, meningkatkan usaha dan memberi makna kepada gesaan Nabi Muhammad SAW untuk menyempurnakan kerja dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur atas prestasi ekonomi semasa negara yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

“Pagi tadi, saya umumkan bahawa semua langkah-langkah terakhir kita amat membanggakan  pelaburan tertinggi, kadar pengangguran rendah, ringgit semakin kukuh, dan prestasi ekonomi terbaik di Asia,” katanya.

Namun beliau mengingatkan agar kejayaan itu tidak disalahertikan sebagai sesuatu yang mudah dicapai.

“Malaysia bukan negara besar ekonominya tetapi kita telah mencapai sesuatu yang luar biasa kerana keamanan, kestabilan politik, kerjasama berpasukan antara pimpinan politik dan penjawat awam, serta keberkesanan pelaksanaan dasar,” katanya.MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast