Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa UMNO sudah mengkhianati perjuangan generasi terdahulu untuk kemerdekaan tanah Melayu apabila bertindak menyokong perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang meletakkan Malaysia di bawah kuasa Amerika Syarikat (AS).

Dakwa beliau, keputusan UMNO itu dibuat demi kepentingan diri hingga menggadai tanah air.

“Kamu sudah khianati perjuangan ibu bapa dan datuk nenek kamu untuk kemerdekaan tanah Melayu. Hari ini kamu sokong tindakan menghapuskan kemerdekaan yang mereka perjuang dahulu apabila mempersetujui perjanjian meletak negara tercinta ini di bawah kuasa Amerika Syarikat.

“Kamu utamakan kepentingan diri kamu dan gadai tanah air. Anak cucu kamu akan kutuk perbuatan kamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri itu menegaskan, UMNO tidak perlu mempertahan ART kerana tindakan itu bukan sahaja bersetuju membeli hampir RM1 trillion ringgit barangan Amerika tetapi juga menyokong dasar dan tindakan AS.

“…kamu juga setuju merujuk kepada AS segala tindakan dan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain supaya tidak bertentangan dasar dan tindakan AS. Keberanian Malaysia sudah tidak ada lagi. Segala galanya ditentu oleh AS,” tambah beliau.

Dakwa Dr. Mahathir lagi, UMNO sudah jadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dan tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Jelasnya, bagi ahli dan wakil rakyat UMNO, perjuangan hanyalah untuk kepentingan diri sendiri.

“Pengkhianatan kamu akan tercatat dalam sejarah negara,” ujar beliau lagi.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Dalam perjanjian itu, kadar tarif yang dikenakan kepada Malaysia diturunkan daripada 25 peritus kepada 19 peratus.

Bagaimanapun, ART itu dikritik kerana terdapat klausa perjanjian yang boleh mengehadkan keupayaan Malaysia untuk menentukan dasar sendiri.

Ia termasuk dakwaan Malaysia “terpaksa” mengikut dasar AS dalam hal tarif, sekatan perdagangan atau hubungan dengan negara ketiga.

Malah, beberapa pihak menafsirkan istilah “reciprocal” dalam ART sebagai tidak seimbang sebaliknya memberi lebih banyak komitmen berbanding yang diterima dari AS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast