Mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

TASEK GELUGOR – Kepekaan dua pegawai bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita yang hilang sejak malam tadi selepas motosikalnya terbabas ke dalam paya berhampiran Jalan Pokok Machang di sini hari ini.

Ia susulan Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Zainudin Abu Bakar dari Bahagian Penyiasatan Kebakaran Zon 4 terserempak dengan dua ahli keluarga yang sedang mencari mangsa selepas motosikalnya ditemui di tepi jalan pagi tadi.

Difahamkan, wanita berusia 23 tahun itu tidak pulang ke rumah sejak 9 malam tadi namun keluarganya tidak membuat laporan kehilangan dan berusaha mencari sendiri di kawasan sekitar sebelum bertemu dua pegawai bomba terbabit.

Berbekalkan naluri penyelamat, kedua-dua pegawai berkenaan segera menyertai pencarian dan akhirnya menemui mangsa kira-kira 100 meter dari motosikalnya dalam keadaan tersangkut di tepi semak berhampiran paya.

Mangsa dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam paya dan dihanyutkan arus ke lokasi berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor bersama anggota Kementerian Kesihatan (KKM) hadir bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki serta patah tangan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Zon 4, PgKB II Rosli Zakaria berkata, tindakan spontan dua pegawai itu membuktikan kepekaan dan keprihatinan anggota bomba tidak terbatas pada waktu operasi semata-mata.

“Naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini. Ia juga menunjukkan komitmen pasukan sentiasa bersedia membantu masyarakat pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast