Pekarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

SHAH ALAM – Tiga bekas pegawai jualan bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima dan gagal melaporkan rasuah kepada pihak berkuasa.

Che Mohd Azri Che Abd Aziz, 38, Mohd Shahrul Affendy Sharib, 33 dan Siti Nurmasyitoh Nordin, 42 membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, di sini, hari ini.

Siti Nurmasyitoh yang berdepan 11 pertuduhan, sebagai Pengurus Jualan sebuah bank didakwa telah secara rasuah menerima RM146,360 sebagai upah dari sebuah firma guaman sebagai upah mencadangkan firma tersebut menyediakan 127 dokumen perjanjian pembiayaan berjumlah lebih RM40 juta.

‎Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan sebuah bank di Seksyen 13, di sini pada 16 Januari, 28 Ogos, 11 November 2020; 4 Mac, 16 Ogos, 19 November 2021; 3 Mac, 17 Jun, 30 September, 2022 dan 12 Januari serta 14 April 2023.

Tertuduh turut berdepan 11 pertuduhan pilihan.

Dalam pada itu, Che Mohd Azri pada 27 Mei 2020 dan 27 September 2022 sebagai Penolong Pengurusa Jualan sebuah bank didakwa secara rasuah menerima wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM3,414 sebagai upah daripada sebuah firma guaman untuk mencadangkan firma itu menyediakan dua dokumen Perjanjian Pembiayaan Pembiayaan Rumah berjumlah RM503,500.

‎Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di cawangan sebuah bank di Seksyen 13 di sini.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan.

‎Shahrul Affendy pula, didakwa sebagai Eksekutif Jualan Pelanggan di sebuah bank pada 2 Oktober 2020, 18 November 2021, 3 Mac dan 13 Oktober 2022 telah secara rasuah menerima RM4,270 sebagai upah dari sebuah firma guaman menerusi seorang individu lelaki.

Rasuah berkenaan diterimanya sebagai upah mencadangkan penyediaan empat dokumen perjanjian pembiayaan bernilai RM1.08 juta.

‎Kesalahan itu dilakukannya di cawangn sebuah bank di Kelana Jaya.

Dalam masa yang sama, Shahrul turut dihadapkan dengan empat pertuduhan pilihan.

‎Bagi kesemua pertuduhan pilihan Che Mohd Azri, Shahrul Affendy dan Siti Nurmasyitoh didakwa gagal melaporkan kesemua perbuatan rasuah terbabit kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

‎Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum melebihi 20 tahun, dan denda.

Terdahulu, pertuduhan kepada ketiga-tiga mereaka dibacakan secara berasingan.

Prosiding kes Che Mohd Azri Siti Nurmasyitoh dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM M. Esther Jacyntha.

Kes Shahrul Affendy dikendali oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Safari Abdullah.

‎Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada Mohd Azri, RM8,000 kepada Mohamad Safari dan Siti Nurmasyitoh sebanyak RM15,000 selain syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM, menyerahkan passport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

‎Sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh ditetapkan pada 15 Jan tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast