Datuk Seri Rafizi Ramli; Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen.

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen kerajaan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat semua perkara berkaitan perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, siasatan itu khususnya mengenai perkara bahawa Malaysia telah ‘dipaksa’ untuk berunding dalam perjanjian perdagangan tersebut.

Tambahnya, mereka juga menuntut penjelasan mengapa Malaysia memilih sebuah perjanjian dan bukan sekadar memorandum persefahaman (MoU) atau kerangka.

“Kami percaya bahawa RCI akan membantu memulihkan dan meningkatkan akauntabiliti awam dalam isu kontroversi ini.

“RCI juga wajar ditugaskan untuk mencadangkan struktur tadbir urus yang lebih kukuh, mekanisme konsultasi awal, serta semak dan imbang dengan tujuan memperbaiki proses perundingan perdagangan pada masa hadapan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, setelah penelitian dan perbincangan yang mendalam, mereka yakin bahawa perjanjian tersebut sangat berat sebelah dan memihak kepada AS.

Dalam masa sama, katanya, mereka juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong dalam satu forum awam pada 3 November lalu, menyatakan Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan ia bukan satu perkongsian setara.

“Tambahan pula, kami yakin, berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks perjanjian, bahawa penandatanganan perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi,” katanya.

Dalam kenyataan sama, mereka turut menggesa Kerajaan Madani melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar yang berwibawa untuk memulakan proses pindaan terhadap artikel perjanjian yang lebih membebankan dari segi kedaulatan negara.

Katanya, lantikan peguam itu juga bagi menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan perjanjian tersebut.

“(Lantikan peguam juga untuk) menjalankan kajian matriks perundangan terhadap potensi kesan akses pasaran daripada perjanjian ini terhadap FTA sedia ada dan perjanjian pelbagai hala termasuk tetapi tidak terhad kepada Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), Comprehensive and Progressive Agreement for the Trans-Pacific Partnership (CPTPP) dan European Free Trade Association (EFTA),” katanya.

Dalam masa sama, kenyataan itu turut menggesa Kerajaan Madani mewujudkan satu pasukan khas terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos-faedah komprehensif ke atas perjanjian tersebut.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga digesa mewujudkan satu pasukan penasihat dasar luar pada peringkat tinggi berhubung kesan dan implikasi geopolitik daripada perjanjian tersebut terhadap dasar luar dan dasar perdagangan antarabangsa Malaysia dan melaporkan perkara tersebut kepada Parlimen.

Jelasnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga digesa menubuhkan satu bahagian khas bagi menyelaras dengan kementerian-kementerian lain untuk memberikan maklumat terkini, menjawab pertanyaan dan berinteraksi dengan para pelabur serta pemimpin industri mengenai perkara yang berkaitan dengan perjanjian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast