KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan EAIC) menjelaskan, penggunaan istilah “digugurkan” dalam kenyataan tersebut merujuk kepada keputusan untuk mengecualikan Datuk Seri Dr. Yusof Ismail daripada menyertai Pasukan Petugas EAIC.
Katanya, keputusan untuk tidak melibatkan Yusof , Ahli Pesuruhjaya EAIC, dalam pelaksanaan Pasukan Petugas Khas tersebut kerana beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Khas Siasatan Bebas (Independent Investigation Committee – IIC) FAM.
Langkah ini diambil bagi memastikan integriti, ketelusan, dan kebebasan EAIC daripada sebarang potensi percanggahan peranan dalam kedua-dua jawatankuasa berkenaan selaras dengan hasrat Yusof sendiri yang telah memilih untuk menarik diri secara sukarela daripada penglibatan dalam Pasukan Petugas Khas EAIC.
Keputusan ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan mahupun kredibiliti beliau sebagai Ahli Pesuruhjaya EAIC.
Pada 11 November lalu, EAIC mengumumkan menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia.
Menurutnya, mesyuarat pertama pasukan berkenaan diadakan pada 11 November dan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas.
Turut hadir, ahli-ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar, serta pegawai kanan Bahagian Operasi EAIC.
Mesyuarat itu turut memutuskan Yusof yang sebelum ini diumumkan sebagai ahli Pasukan Petugas Khas, digugurkan daripada senarai keanggotaan bagi mengelakkan sebarang potensi konflik kepentingan memandangkan beliau turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa IIC FAM.
Mesyuarat tersebut turut menetapkan Terma Rujukan (Terms of Reference – TOR) Pasukan Petugas Khas sebagai panduan utama bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan berintegriti.
EAIC menjelaskan, pasukan khas itu akan meneliti dengan mendalam aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain naturalisasi berkenaan.
“Pasukan Petugas Khas EAIC komited untuk menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan selaras dengan mandat Suruhanjaya ini di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700],” tambah suruhanjaya tersebut.- MalaysiaGazette















