KUALA LUMPUR – Kegiatan mencuri motosikal oleh kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Al Alim’ akhirnya terbongkar selepas tujuh lelaki tempatan diberkas dalam beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara pada 23 September lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 34 tahun itu dipercayai aktif mencuri motosikal di kawasan tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Serbuan membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan dua motosikal dalam keadaan tidak sempurna, dua rangka motosikal, pelbagai komponen kenderaan dan pakaian yang digunakan ketika melakukan jenayah,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut beliau, semua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan dan dadah.
“Seorang daripadanya mempunyai 18 rekod jenayah dan satu kes narkotik, manakala seorang lagi dikehendaki polis bagi empat kes dadah. Hanya seorang tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” jelasnya.
Tambah Mohamad Lazim, penahanan kumpulan itu membolehkan polis menyelesaikan 16 kes curi motosikal di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju dan dua kes lagi di sekitar Selangor.
“Kesemua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 14 Oktober lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















