Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menyelar Pas yang disifatkan memilih memainkan isu politik sempit apabila berhasrat menganjurkan demontrasi Turun Anwar 2.0 bagi menyatakan bantahan terhadap perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).

Malah, katanya, cadangan Pas itu juga jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab serta kecenderungan pemimpinnya yang mempolitikkan setiap dasar kerajaan demi kepentingan politik.

Menurut beliau, adalah tidak wajar bagi Pas menggambarkan seolah-olah perjanjian ART berat sebelah atau merugikan negara.

Sedangkan, jelasnya, ia telah dirunding secara teliti oleh pasukan pegawai awam yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam hal ehwal perdagangan antarabangsa.

“Tindakan Pas ini juga tidak ubah seperti menafikan kecekapan serta menjejaskan maruah penjawat awam yang telah menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, Pas bakal menggerakkan Himpunan Mega “Turun Anwar 2.0” sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara susulan perjanjian ART.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, tindakan Pas memperlekeh perjanjian ART juga menunjukkan parti tersebut tidak mempunyai hala tuju ekonomi.

Lebih membimbangkan, ujarnya, ia memberi isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia tidak konsisten dalam dasar dan komitmen antarabangsa.

“Jika Pas memerintah, adakah Pas akan menghentikan hubungan dagang dengan AS?

“Adakah Pas mempunyai pelan ekonomi lain apabila pekerjaan dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan ramai orang Melayu dirisikokan?” soalnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil Kerajaan Madani adalah berpaksikan kepada kepentingan negara, bukan kerana agenda politik kepartian.

Sehubungan itu, dakwanya, penganjuran demonstrasi `Turun Anwar 2.0’ tanpa alasan kukuh disifatkan percubaan Pas yang berterusan menanam kebecian dalam kalangan rakyat.

“Politik kebencian ini adalah tidak Islamik dan boleh menggugat kestabilan dan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast