KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah merupakan komitmen Putrajaya menghormati hak negeri itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap keputusan mahkamah dan kedudukan perlembagaan dan bukan kerana tekanan politik.
Beliau berkata, Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kelmarin telah memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, selaras dengan nasihat Jabatan Peguam Negara yang menegaskan bahawa hak rakyat Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih wajar dihormati.
Kerajaan juga bersetuju memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi pelaksanaan mekanisme tersebut, ujarya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tetap akan merayu terhadap bahagian penghakiman yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan oleh kerajaan-kerajaan Persekutuan terdahulu sejak 1974.
Menurut Anwar, walaupun kerajaan kini bersifat sementara menjelang pilihan raya, rundingan teknikal tetap diteruskan bagi memastikan proses penyelarasan tidak tertangguh.
Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk memulakan rundingan tersebut.
“Kerajaan interim bukan alasan untuk melengahkan. Perbincangan teknikal boleh bermula dahulu, manakala keputusan dasar lebih besar akan diputuskan selepas kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar).
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak tidak sah, melampaui kuasa perlembagaan dan gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Anwar menyifatkan teguran mahkamah terhadap kerajaan-kerajaan terdahulu sebagai antara yang paling keras pernah dikeluarkan dalam kes membabitkan hubungan Persekutuan–negeri.
“Bila disebut tindakan ‘illegal, irrational, procedurally improper, disproportionate’, apakah kita boleh diam? Kalau ada kelemahan, kita perbetulkan. Kita selesaikan secara tertib antara negeri dan Persekutuan,” soalnya.
Tambah beliau, penyelesaian akan lebih cepat dicapai sekiranya hubungan politik serta pentadbiran antara Sabah dan Putrajaya berada dalam keadaan positif.
“Kalau sikapnya positif, rundingan lancar. Kalau bermusuhan, apa pun tidak selesai. Kita sudah salurkan peruntukan tambahan, termasuk RM1.2 bilion di luar belanjawan awal untuk bantu rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















