KUALA LUMPUR – Seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Syafikah yang tular di dalam media sosial kerana didakwa dibuli sehingga terpaksa berhenti sekolah ditawarkan pengajian di GIATMARA Muar, Johor dalam bidang kulinari.
Perkara itu disahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut memaklumkan, GIATMARA akan menanggung semua kos pengajian pelajar yang berasal dari Tangkak, Johor berkenaan.
Menurut Asyraf Wajdi, ia termasuk elaun bulanan dan keperluan asas serta bantuan penginapan yang akan diuruskan oleh Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) Daerah Ledang yang turut tampil membantu.
“Sebaik kisahnya sampai kepada saya, sahabat saya Saudara Arif Wagiman, Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, segera menghubungi saya untuk mencari jalan membantu anak ini yang sudah putus semangat untuk bersekolah.
“Alhamdulillah, hasil koordinasi bersama GIATMARA Johor dan pemimpin komuniti setempat, MARA akan menawarkan tempat pengajian kepada adik Syafikah di GIATMARA Muar dalam bidang Kulinari, bidang yang memang menjadi minat dan kecenderungannya sejak kecil,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, kisah mengenai Syafikah tular selepas pemilik akaun Facebook Afiq Noordin memuat naik hantaran mengenainya yang terpaksa berhenti sekolah akibat dibuli secara mental dan fizikal, sehingga hilang semangat untuk meneruskan pelajaran.
Berdasarkan hantara itu, Syafikah yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik sejak kecil dikatakan membantu ibunya berniaga sarapan pagi di warung kecil di Pekan Tangkak.
Ayah ditimpa musibah penyakit yang kehilangan sebelah kaki dan keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan harian warung tersebut untuk meneruskan kehidupan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menegaskan, isu buli bukan perkara kecil dan bukan sesuatu yang normal.
Sebaliknya, kata beliau, ia boleh meragut keyakinan, mematahkan semangat dan menghancurkan masa depan seorang anak bangsa, justeru menyeru semua pihak berani menolak budaya itu dan melindungi anak-anak yang menjadi mangsa.
“Kisah adik Syafikah ini mengingatkan kita bahawa setiap anak berhak diberi peluang kedua.
“Hari ini mungkin dia mangsa, tetapi dengan sokongan dan kasih masyarakat, InsyaAllah dia akan bangkit sebagai insan yang berjaya dan jadi inspirasi buat orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















