KUALA LUMPUR – DAP Pulau Pinang menegaskan negeri itu dan Kedah adalah dua entiti berasingan dalam Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pendirian parti itu jelas bahawa kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
“Perlembagaan Persekutuan secara jitu menetapkan Pulau Pinang dan Kedah ialah dua negeri yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia.
“Sehubungan itu, kami akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada sebarang cubaan mempersoalkan kedudukan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven berkata demikian bagi mengulas kenyataan bahawa Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
Dalam masa sama, Steven menyarankan supaya Muhammad Sanusi menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyatnya.
“Adalah lebih wajar sekiranya Menteri Besar Kedah menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri Kedah dan menjaga kebajikan rakyatnya, bukannya berpolitik tanpa henti,” tambahnya.
Steven turut mencabar Pas Pulau Pinang dan rakan-rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) negeri itu menyatakan pendirian berhubung tuntutan kerajaan Kedah terhadap Pulau Pinang kerana rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar mereka.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam berkata, pihaknya sedia untuk berjumpa dengan Kerajaan Kedah di mahkamah berhubung tujtutan tersebut.
Kon Yeow berkata, jawapannya tetap sama seperti yang pernah dikeluarkan tiga tahun lalu berhubung isu berkenaan.
Tahun lalu, Kon Yeow menggesa Muhammad Sanusi supaya membuktikan dakwaannya Pulau Pinang milik Kedah di mahkamah.
Pada 2021, Kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786. – MalaysiaGazette
















