Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia yang berkembang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, membuktikan usaha Kerajaan Madani berada pada landasan yang baik.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertumbuhan memberangsangkan itu disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurutnya, perdana menteri memaklumkan, antara sektor mencatatkan pertumbuhan KDNK paling tinggi dan memberangsangkan adalah perkhidmatan iaitu hampir sembilan peratus dan sektor pembinaan hampir 12 peratus.

“Ini menjangkaui apa yang kita anggap sebagai ‘best case projection’ (jangkaan terbaik) sebelum ini sebanyak 4.8 peratus dan walaupun sebelum ini pernah diumum angka terbabit tapi ia hanya anggaran pada waktu itu.

“Prestasi ini membuktikan keadaan pertumbuhan ekonomi dalam negara berada dalam kedudukan yang baik, di landasan yang betul dan terus mencatat pertumbuhan yang cukup baik,” katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, mengumumkan KDNK berkembang kukuh pada 5.2 peratus bagi suku ketiga 2025.

Ia didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan dan eksport bersih yang tinggi.

Jelas beliau, pertumbuhan yang dicatatkan itu sejajar dengan anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan lalu dan lebih tinggi berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2025.

Prestasi ini menjadikan ekonomi Malaysia dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berkembang 4.7 peratus, sekali gus berada dalam lingkungan tinggi julat sasaran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

Pencapaian sembilan bulan pertama 2025 ini mengatasi prestasi ekonomi Malaysia yang berkembang 3.7 peratus pada 2023. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast