KUALA LUMPUR – Datuk Fadlun Mak Ujud, 58, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa 15 November selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pelantikan itu selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI,” kata Zaliha dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan mempunyai lebih 28 tahun pengalaman dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah serta pengurusan bandar raya.

Sebelum pelantikan ini, Fadlun menyandang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022 dan telah menunjukkan kepimpinan cemerlang khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025 dan Pelan Transformasi Hijau Putrajaya.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar yang menekankan prinsip inklusiviti serta kelestarian, menjadikan Putrajaya antara model pembangunan bandar yang progresif.

Selain itu, Fadlun merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia dengan penglibatan aktif dalam forum serta jaringan profesional antarabangsa.

Fadlun menggantikan Dr Maimunah bekas Datuk Bandar, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif yang kini menjawat jawatan Penasihat Hartanah Petronas.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tempoh perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat pada 15 Ogos 2026 dipendekkan kepada esok, 14 November.

Pemendekan tempoh perkhidmatan Maimunah adalah bagi memberi ruang kepada beliau untuk ditempatkkan di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi nasional yang diberi peranan untuk membangunkan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast