Mendiiang Ivana Esther Robert Smit

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempunyai tempoh 48 jam bermula hari ini supaya mematuhi perintah Mahkamah Tinggi agar membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut di tingkat enam sebuah kondominium lapan tahun lalu.

Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen iaitu ibu model berkenaan berkata, jumlah itu perlu dimasukkan serta merta ke dalam akaun anak guam yang ditadbir oleh firma guamannya.

“Jika kerajaan (defendan) gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang dinyatakan, pihak kami telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu dan sewajarnya.

“Ia tidak terhad kepada prosiding penghinaan mahkamah, bagi menjamin pematuhan penuh terhadap perintah pembayaran tersebut,” ujarnya.

Nair menyatakan demikian dalam surat tuntutan melalui firma guamannya yang diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, hari ini.

Surat itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak permohonan kerajaan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman bertarikh 29 Julai lalu.

Hakim Roz Mawar Rozain dalam keputusannya memerintahkan jumlah ganti rugi RM1.1 juta dibayar serta merta dalam akaun anak guamnya tanpa sebarang kompromi.

“Bagaimanapun, sehingga surat ini ditulis, kami masih belum menerima sebarang pengesahan, maklum balas atau apa-apa bukti pembayaran berhubung amaun ganti rugi yang diperintahkan.

“Kegagalan ini merupakan satu bentuk ketidakpatuhan yang nyata serta boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap perintah mahkamah, memandangkan arahan hakim adalah jelas, spesifik dan bersifat serta-merta.

“Selaras dengan arahan anak guam, kami dengan ini memberikan notis 48 jam kepada pihak defendan dan kepada Peguam Negara untuk memastikan bahawa amaun penghakiman RM1.1 juta tersebut dibayar dan didepositkan ke dalam akaun stakeholder (pemegang kepentingan) kami,” ujar beliau.

Pada 29 Julai lalu, Hakim Roz Mawar memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi itu selepas berpuas hati terdapat kecuaian polis dalam mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada 2017.

Kerajaan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman sementara ia merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Melalui penghakimannya dalam kes saman terbabit, Hakim Roz Mawar juga memutuskan terdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.

Tuntutan saman itu difailkan Christina yang menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia dengan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.

Dalam penyataan tuntutan, ibu mendiang model itu berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast