GEORGE TOWN – Seorang buruh binaan warga Bangladesh dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengurung secara salah rakan senegaranya selama empat hari, pada Oktober lalu.
Majistret Nur Fadlina Zulkhairi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md Mofijur Rahman, 26, selepas pengakuan bersalah direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas didapati mengurung secara salah seorang lelaki warga Bangladesh selama empat hari.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman Jalan Sungai Emas, Mutiara Apartment, Batu Feringgi di sini, jam 7.30 malam pada 31 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Difahamkan, mangsa didakwa mencuri wang RM5,000 milik tertuduh dua tahun lalu sehingga membawa kepada tindakan mengurungnya. – MalaysiaGazette
















