KUALA LUMPUR – First Instance Body (FIB) menjatuhkan hukuman denda ke atas Kelantan The Real Warriors FC (TRW) dan PDRM FC berjumlah RM70,000 selepas gagal mematuhi arahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan kewajiban menyerahkan Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan serta laporan kewangan yang diperlukan.
Kedua-dua kelab turut dikenakan larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua musim 2025-2026.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, semua kelab Liga Super diminta untuk menghantar Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan bagi tempoh hingga September 2025 bersama Laporan Penyata Kewangan untuk bulan Ogos dan September 2025 pada tarikh penyerahan 16 Oktober lalu.
“Namun, selepas pemeriksaan laporan kewangan, FFP MFL mendapati Kelantan TRW dan PDRM FC masih mempunyai tunggakan gaji yang belum diselesaikan sejak musim lalu.
“Ia turut disahkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) melalui kerjasama dengan FFP MFL,” kata dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, FFP MFL telah mengeluarkan dua surat amaran menuntut bukti pembayaran atau pelan pembayaran tunggakan, namun tiada sebarang penyelesaian diterima.
Sehubungan itu, Sheikh Mohd Nasir berkata, FIB telah menjatuhkan denda pertama sebanyak RM10,000 kepada Kelantan TRW dan PDRM FC atas pelanggaran peraturan berkenaan, dengan memberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan tunggakan yang ada.
“Namun pihak FFP MFL masih belum menerima sebarang resit pembayaran atau pelan pembayaran daripada kedua-dua kelab tersebut dan atas sebab itu FIB telah memutuskan untuk mengenakan denda kedua sebanyak RM20,000.
“Oleh kerana FFP MFL tidak menerima sebarang maklumbalas daripada Kelantan TRW FC dan PDRM FC, FIB telah mengenakan denda ke atas kedua-dua kelab tersebut untuk kali ketiga sebanyak RM 40,000 serta larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua bagi musim 2025-2026,” katanya.
Kelantan TRW dan PDRM FC kini diberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk menyelesaikan isu tunggakan mereka.
Sheikh Mohd Nasir menegaskan bahawa jika kedua-dua kelab gagal mematuhi tarikh yang diberikan, tindakan lebih tegas akan diambil di bawah Artikel 14(1)(e) Peraturan FFP MFL untuk musim 2025-2026. – MalaysiaGazette
















