KLUANG – Seorang pembantu kedai makan di Singapura maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 52.4, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, nahas tersebut dipercayai berlaku pada pukul 8.20 malam melibatkan motosikal, kereta dan lori.
“Siasatan mendapati motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Kluang ke Johor Bahru.
“Setibanya ke lokasi, motosikal yang ditunggangnya dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Nissan yang diletakkan di lorong kecemasan akibat kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan motosikal terbabit terbabas hingga memasuki ke lorong kanan jalan dan dilanggar sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun.
Tambah Bahrin, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Bagaimanapun katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 (direct line) dan 014-365682 (tablet DCC).
“Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada, berhati-hati dan bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.- MalaysiaGazette















