Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi eHATI  telah melarikan diri ke sebuah negara di Asia Tenggara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar yang mengesahkan perkara itu berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai melarikan diri pada 13 Oktober, sehari sebelum dituduh di mahkamah.

“(Berkaitan) kes program e-Hati masih lagi tidak ada tangkapan dibuat kerana PDRM mempercayai mereka ini telah melarikan diri ke luar negara sebelum pertuduhan dilaksanakan,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor.

Menurut beliau, polis telah mengenal pasti negara yang menjadi tempat pasangan itu melarikan diri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berhubung dengan rakan strategik untuk mengesan mereka.

Lagipun, katanya waran tangkap ke atas pasangan ini juga sudah dikeluarkan.

“Pasangan ini dipercayai melarikan diri menggunakan laluan sah.

“Namun, kita telah kena pasti ke negara mana mereka pergi dan sebagaimana saya katakan, pihak PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara tersebut untuk membantu mengesan penama-penama yang telah dikeluarkan waran tangkap atas mereka,” tambah beliau.

Selasa lalu, Shazeli berkata, pengasas program motivasi eHATI antara dua individu dikesan selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka berikutan kegagalan hadir ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan baru-baru ini.

Sebelum ini seramai 95 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, Shah Alam, pada September tahun lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast