GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan projek terowong dasar laut yang dicadangkan sejak 2011 di bawah Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) masih dalam status aktif dan tidak pernah dibatalkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu masih menerima pembentangan terkini daripada syarikat bertanggungjawab bagi meneliti penyelesaian terbaik terhadap isu teknikal yang timbul sepanjang perancangan.
“Projek terowong tidak pernah diumumkan sebagai projek tidak dijalankan dan kita juga tidak pernah menyatakan ia dibatalkan. Ia masih dibincangkan, malah minggu lalu kita turut mendengar pembentangan berkaitan projek itu dalam Mesyuarat EXCO.
“Antara isu utama yang sedang diperhalusi termasuk memastikan cadangan pembinaan jambatan pengganti tidak menjejaskan operasi Pelabuhan Pulau Pinang serta faktor ketinggian struktur berikutan kedudukannya berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth.
“Semua ini adalah isu teknikal yang masih diteliti. Mengikut perjanjian, kajian belum selesai dan pelaksanaan tidak akan diteruskan sehingga semua pihak berpuas hati dengan reka bentuk jajaran, susunan kewangan serta aspek lain,” katanya.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azmi Alang (Bersatu-Telok Ayer Tawar) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Untuk rekod, projek terowong sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama itu merupakan sebahagian daripada pakej projek PTMP bernilai RM46 bilion.
Terowong ini dicadangkan sebagai penghubung ketiga antara Pulau Pinang dan tanah besar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang, dengan nilai pakej RM6.3 bilion. – MalaysiaGazette
















