KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, kerajaan mempunyai alasan dan justifikasi kukuh untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkannya menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda berhubung kematian anaknya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, notis rayuan telah difailkan bagi mendapatkan penangguhan daripada Mahkamah Rayuan.
“AGC juga telah memfailkan sijil perakuan segera bagi membolehkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penangguhan, didengar secepat mungkin.
“Selain itu, kami juga telah memfailkan notis rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman berkenaan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Semalam, peguam Datuk S.N. Nair yang mewakilli ibu model itu, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berkata, kerajaan mempunyai tempoh 48 jam supaya mematuhi perintah Mahkamah Tinggi agar membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada wanita itu.
Mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ketika itu berusia 18 tahun, ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy, lapan tahun lalu.
Nair dalam kenyataannya berkata, jumlah itu perlu dimasukkan serta merta ke dalam akaun anak guam yang ditadbir oleh firma guamannya.
“Jika kerajaan (defendan) gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang dinyatakan, pihak kami telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu dan sewajarnya.
“Ia tidak terhad kepada prosiding penghinaan mahkamah, bagi menjamin pematuhan penuh terhadap perintah pembayaran tersebut,” ujarnya yang turut menyerahkan surat tuntutan kepada Peguam Negara, semalam.
Surat itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang menolak permohonan kerajaan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman bertarikh 29 Julai lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain dalam keputusannya memerintahkan jumlah ganti rugi RM1.1 juta dibayar serta merta dalam akaun anak guamnya tanpa sebarang kompromi.
Melalui penghakimannya dalam kes saman terbabit, Hakim Roz Mawar juga memutuskan terdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.
Tuntutan saman itu difailkan Christina yang menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia dengan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya. – MalaysiaGazette
















