Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan pengguna media sosial supaya beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan, terutamanya sepanjang musim pilihan raya.

MCMC dalam kenyataan menegaskan, perbezaan pandangan politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun perlu dizahirkan secara sopan, berhemah dan tidak melanggar undang-undang.

Ujar kenyataan itu, platform digital perlu digunakan sebagai saluran untuk menyebar maklumat yang sahih dan membina, bukan tempat menabur kebencian, hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Katanya, larangan tersebut juga merangkumi kandungan yang menghina agama, kaum atau Institusi Diraja (3R).

“Sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“MCMC akan mengambil tindakan tegas, termasuk siasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan akauntabiliti, serta ketenteraman awam terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast