KJ akan bantu kempen “kawan-kawan” di PRN Sabah
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan menerima pelawaan untuk sama-sama berkempen pada Pillihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Ya, saya akan turun (ke Sabah). Saya ada menerima jemputan dan permintaan daripada kawan-kawan lama yang pernah bersama saya dalam Pemuda dahulu,” jawabnya secara ringkas tanpa menyatakan parti atau calon yang akan dibantunya secara khusus.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status kemasukan semula ke dalam UMNO, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan memberitahu, beliau masih belum menerima sebarang makluman daripada parti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Larian Keluarga Malaysia 2025, di sini hari ini.
Hadir sama pada program itu bekas Perdana Menteri ke-sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut merasmikan larian berkenaan.
Sebelum ini, terdapat “cakap-cakap” yang menyatakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu dijangka kembali menyertai UMNO selepas mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan, isyarat restu itu disampaikan sendiri Timbalan Perdana Menteri kepada Khairy ketika menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, pada 26 Oktober lalu.
Menurut sumber, Khairy dijangka membantu kempen UMNO dan BN dalam PRN Sabah memandangkan sebahagian calon yang diketengahkan adalah seusia dan pernah bergiat bersama dengannya dalam politik. – MalaysiaGazette
















