Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada media berkenaan Larian Keluarga Malaysia 2025 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 15 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Program Larian Keluarga Malaysia (LKM 2025) yang memasuki tahun kedua penganjurannya hari ini berjaya mencapai sasaran sehingga 3,000 peserta.

Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran kali ini yang berpindah dari Cyberjaya ke Padang Merbok, memudahkan orang ramai untuk hadir menyertai larian itu.

Katanya, penganjuran larian bertujuan mengumpul dana tambahan untuk Yayasan Keluarga Malaysia serta menampung keperluan anak-anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19.

“Yayasan ini menyediakan bantuan RM200 kepada penerima berusia 16 tahun ke bawah, manakala RM250 diberikan kepada mereka berusia 16 tahun ke atas.

“Semakin ramai penerima meningkat usia, maka perbelanjaan yayasan juga bertambah. Selain bantuan bulanan, kita turut menanggung keperluan pendidikan mereka sehingga ke peringkat universiti,” katanya kepada media selepas program berkenaan di Padang Merbok di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kos yang digunakan oleh yayasan akan meningkat apabila lebih ramai anak-anak di bawah jagaan memasuki kolej dan universiti.

Justeru katanya, penganjuran Larian Keluarga Malaysia dijadikan usaha berterusan untuk mengumpul dana bagi membantu mereka yang memerlukan.

Tambah beliau, program kali ini turut menerima tajaan daripada beberapa syarikat besar sekaligus berjaya menambah kutipan dana yayasan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast