Maimunah Mohd Sharif 'punch out' terakhir sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15 di Lobi Menara DBKL.

KUALA LUMPUR -Pemendekan tempoh perkhidmatan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, hanya selepas lebih setahun memegang amanah tersebut menimbulkan banyak persoalan, kata Timbalan Ketua Cabang PKR Kepong, Jeremy Ang.

Katanya, tindakan tersebut menunjukkan seolah-olah terdapat isu ketidakstabilan serta kurangnya kesinambungan dalam kepimpinan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam sebuah bandar raya dengan keupayaan ekonomi yang kompleks dan bajet hampir RM3 bilion yang melebihi bajet Johor dan menghampiri bajet Selangor, rakyat Kuala Lumpur berhak menikmati kepimpinan yang stabil, telus dan bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, persoalan tersebut dan isu penangkapan seorang bekas pengarah eksekutif DBKL atas tuduhan rasuah sebanyak RM50,000 menyebabkan terdapat keperluan mendesak untuk mengembalikan integriti dan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

Sehubungan itu Jeremy berkata, pilihan raya kerajaan tempatan dilihat penting untuk memperkukuhkan demokrasi meskipun di kawasan bandar.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/11/13/perkhidmatan-datuk-bandar-kl-dipendekkan-maimunah-berhijrah-ke-petronas/

Jelasnya, model demokrasi tempatan di bandar-bandar besar rantau termasuk Jakarta yang dilihat sama seperti Kuala Lumpur membuktikan bahawa pemimpin yang dipilih mampu memberi pentadbiran yang bertanggungjawab, responsif dan sejajar dengan aspirasi masyarakat.

“Pilihan raya kerajaan tempatan adalah komponen penting untuk memperkukuh demokrasi Malaysia. Manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022 menetapkan komitmen yang jelas untuk memperkasakan demokrasi tempatan dan memberikan hak kepada rakyat menentukan masa depan bandar mereka sendiri.

“Keperluan ini menjadi lebih kritikal di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai sistem dewan tempatan bagi melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap keputusan Datuk Bandar,” ujarnya.

Semalam, Datuk Maimunah Mohd Sharif menamatkan tugasnya sebagai Datuk Bandar KUala Lumpur, semalam selepas menerajui DBKL sejak Ogos 2024.

Jawatannya diganti oleh Datuk Fadlun Mak Ujud.

Maimunah kemudiannya sebagai Penasihat Hartanah Petronas berkuat kuasa 17 November 2025 ini.

Pelantikan ini bagi memacu fasa pertumbuhan baharu aset hartanah Petronas, termasuk projek di tanah Sungai Besi dan pembangunan Kota Madani.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast